Burung Pandai Bercakap

Suatu hari seorang peminat burung pergi ke kedai haiwan peliharaan untuk membeli burung. Banyak burung dari pelbagai jenis dan warna dipamerkan di kedai tersebut. Si peminat melihat burung yang dipamerkan satu persatu. Burung pertama berharga RM10, yang kedua RM10, ketiga RM45, dan seterusnya… semuanya berharga antara RM5 hingga RM100. Kemudian beliau ternampak burung berharga RM5,000.

Beliau bertanya kepada pemilik kedai, “Apa istimewanya burung ini? Nampak diam je.”

“Burung ini boleh bercakap.” Jawab penjual.

Tanpa berfikir panjang peminat terus membeli burung itu dan membawanya balik. Beliau menunggu burung itu bercakap, namun hingga ke pagi pun tak ada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut burung itu. Beliau terus ke kedai dan bertanya kepada si penjual.

“Adakah burung melihat dirinya di dalam cermin kecil?” Tanya penjual.

“Tidak.” Jawan tuan burung.

“Setiap pagi ia perlu melihat dirinya dalam cermin kecil. Kalau nak saya ada jual, harganya RM10.”

Beliau membeli cermin itu dan terus memasangnya. Burung itu melihat dirinya dalam cermin namun ia tidak juga bercakap. Tuan burung itu kembali semula ke kedai untuk mendapat penjelasan.

“Adakah ia berjalan naik dan turun tangga kecil?”

Peminat menjawab yang dia tidak mempunyai tangga untuk dipasang dalam sangkar lalu membelinya dari pemilik kedai tersebut. Beliau membawa pulang dan terus memasangnya. Burung terus berjalan naik dan turun tangga namun ia tidak juga bercakap hingga ke pagi berikutnya. Beliau pergi lagi ke kedai untuk nasihat lanjut dari pemilik kedai.

“Adakah ia berlari setempat di atas kincir?”

“OKlah, saya tak ada kincir. Bagi saya satu dan berapa harganya?”

Burung itu naik ke atas kincir yang baru dipasang oleh tuannya dan berlari setempat perlahan-lahan. Selepas beberapa minit ia kelihatan sangat tidak bermaya, dan ketika hampir mati tiba-tiba burung itu bercakap.

“Kedai tu tak jual makanan burung ke?”

Prinsip Kejayaan

Di dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam apa-apa bidang yang diceburi, kita selalu terleka dengan perkara-perkara yang disyorkan atau komentar orang ramai kepada kita sedangkan ianya tidak menyumbang ke arah kejayaan usaha kita itu. Untuk mencapai kejayaan kita perlu kaji apa perkara penting yang perlu dilakukan dan apa langkah-langkah yang perlu diambil, kemudian laksana dan pantau kemajuannya.

Semuanya Berlaku Untuk Kebaikan

Suatu masa dahulu ada seorang raja yang mempunyai penasihat yang bijaksana. Si penasihat mengikuti raja ke mana sahaja baginda pergi, dan nasihat yang menjadi kegemaran beliau, “Semuanya berlaku untuk kebaikan”.

Suatu hari raja pergi memburu dan mendapat kemalangan kecil. Baginda terpanah kaki sendiri dan tercedera. Baginda bertanya kepada penasihat apa pendapat beliau tentang kemalangan itu, yang penasihat menjawab, “Semuanya berlaku untuk kebaikan”. Kali ini raja benar-benar marah dan menitahkan penasihat dimasukkan ke dalam penjara. Raja itu pun bertanya lagi kepada penasihat beliau, “Sekarang, apa yang kamu fikir?” Penasihat itu sekali lagi menjawab, “Semuanya berlaku untuk kebaikan”. Justeru perintah memenjarakan penasihat kekal.

Raja kemudian meneruskan pemburuan, tanpa diiringi si penasihat. Baginda kemudian ditangkap oleh sekumpulan kanibal (orang yang makan orang) dan dibawa balik untuk dijadikan makan malam mereka. Sebelum memasukkan baginda ke dalam periuk, kanibal memeriksa raja itu. Mereka ternampak luka pada kaki raja dan memutuskan untuk membuang baginda kembali ke dalam hutan. Menurut tradisi kanibal, mereka tidak akan makan apa-apa yang tidak sempurna. Oleh sebab itu raja terselamat. Baginda tiba-tiba menyedari apa yang penasihat baginda kata adalah benar. Penasihat juga terselamat dari maut kerana jika dia tidak berada dalam penjara, beliau sudah pasti akan mengikuti raja dalam perjalanan memburu, dan akan berakhir di dalam periuk kanibal.

PRINSIP KEJAYAAN

Adalah benar bahawa setiap yang berlaku dalam kehidupan ini ada tujuannya, dan ianya sentiasa untuk kebaikan kita sendiri. Jika anda fikirkan, semua pengalaman masa lalu kita sebenarnya berlaku untuk membawa kita di mana kita hari ini, dan ia sentiasa untuk kebaikan. Semua pengalaman lampau menjadikan kita seorang yang lebih baik. Jadi, apa jua cabaran yang kita hadapi hari ini, ia berlaku untuk membawa kita ke tahap seterusnya.

Sumber Cerita: Cappuccino and Success

Bagaimana Kita Mendengar?

Bila berborak dengan seseorang, pernah tak dia tanya, “Awak dengar tak apa yang saya cakapkan?”

Pernah tak anda dapati diri anda membuka mulut sebelum orang lain habis bercakap?

Sewaktu menghadiri satu persidangan baru-baru ini, beberapa kali saya tersedar yang saya tidak bersetuju dengan apa yang disampaikan oleh pembentang kertas kerja. Daripada terus mendengar apa yang dibentangkan, saya memberi perhatian kepada suara kecil dalam minda saya yang sedang berbicara tentang apa yang dibentangkan oleh beliau.

Tak bolehkah suara kecil tersebut diam agar dapat saya memberi perhatian penuh kepada apa yang dibentangkan. Bila diberi peluang nanti, bolehlah saya luahkan pendapat saya atau memilih untuk diam. Dengan tidak membuka minda (atau lebih tepat tidak mendiamkan suara kecil), saya tidak memberi ruang kepada idea baru bercambah dan berkembang dalam diri saya.

Kenapa susah sangat untuk mendengar apa yang diucapkan orang lain. Kenapa selalu ada suara kecil dalam minda yang memberi ulasan tentang apa yang orang lain ucapkan. Inilah kebiasaan ramai dari kita. Bila bercakap dengan seseorang, kita mendengar suara kecil dalam minda kita dan tidak memberi perhatian penuh kepada apa yang orang tersebut cakapkan. Kita cenderung membina imej, konsep, idea, penilaian, pandangan, tanggapan dan sebagai tentang orang yang berbicara dengan kita. Kekuatan dalam mendengar adalah mendengar sepenuhnya apa yang orang lain hendak katakan tanpa sebarang penilaian, sama seperti membiarkan bayu membelai muka kita.

Intisari yang ingin dikongsikan – jika ingin mendengar, dengar sepenuhnya kata-kata yang diucapkan seadanya. Jika tidak mahu mendengar, hentikan perbualan dan beredar dari situ. Ulasan suara kecil adalah berdasarkan kepada perbualan dan pengalaman masa lalu. Latih diri untuk mendengar “seadanya”, dan anda akan dapati diri anda memiliki cara baru untuk mendengar. Ia akan memberi manfaat yang besar kepada anda.

Sekarang – Perolehi Kekuatan Diri Di Momen

Setiap hari kekuatan diri anda semakin hilang dik fikiran yang selalu merembes ke masa lalu dan terlalu memikirkan perkara yang anda anggap kesilapan dan berangan tentang masa depan yang diinginkan. Suara-suara kecil yang selalu memenuhi minda anda akan merompak kehidupan yang anda mampu jalani sekarang kecuali sekiranya anda memberi fokus kepada masa kini, saat ini, dan sepenuhnya mengalami apa yang sedang berlaku sekarang.

Memandangkan anda tidak boleh kembali dan mengubah apa yang telah terjadi di masa lalu dan anda tidak boleh melompat di dalam mesin waktu dan pergi ke masa depan untuk mengubahnya atau pun boleh mengagak apa yang akan terjadi, tidak ada gunanya membuang waktu yang berharga berfikir tentang perkara ini. Kehidupan jenis hidup di masa lalu dan bermimpi masa depan sering berlaku, yang membuatkan anda mungkin berfikir bahawa adalah sifat semulajadi manusia untuk membawa minda mereka ke tempat tersebut. Kemungkinan masyarakat mengajar setiap dari kita untuk tidak memberi tumpuan kepada apa yang terjadi di masa kini untuk mengelak dari rasa tidak puas hati dan kesakitan yang dikaitkan dengan kehidupan.

Anda mungkin mengatakan yang anda masih ingin membuat matlamat dan mengejar cita-cita, ia masih lagi sesuatu yang anda boleh dan patut dilakukan. Berada di momen (saat ini) bukanlah bermakna membuang cita-cita atau tidak berfikir tentang masa depan dan menetapkan matlamat, tetapi kita perlu menilai berapa banyak masa yang dihabiskan untuk melamun atau mempunyai tujuan atau impian hidup yang disokong dengan tindakan sebenar. Anda masih boleh menjalani kehidupan yang diterajui matlamat yang memberi fokus kepada di sini dan saat ini dan juga, mempunyai pelan tindakan yang menyokong matlamat jangka panjang. Keseimbangan adalah kuncinya.

Latihan diperlukan untuk membawa fikiran kembali fokus pada saat ini atau masa kini, atau melihat apa yang dialami atau dihadapi sekarang seadanya, tanpa dipengaruhi oleh fikiran masa lalu dan masa depan. Ia mampu dilakukan pada setiap masa. Mengetahui perkara ini adalah sesuatu yang benar-benar memberi kekuatan. Anda mempunyai kawalan ke atas minda anda, arah kehidupan anda dan momen di mana anda wujud dan menjalani kehidupan, justeru kekuatan anda dialirkan kembali kepada anda setelah anda berhenti menumpukan kepada perkara di luar kawalan anda.

Jika anda dapati fikiran anda mengembara ke masa lalu melayari perkara-perkara  yang telah anda anggap sebagai kesilapan dan menyesal melakukannya, ia hanya akan mengheret turun mood anda sekarang dan mempengaruhi masa kini anda secara negatif. Berulang kali memikirkan perkara tersebut tidak akan membuat anda merasa lebih baik atau pun memberikan hasil yang lebih baik, justeru kenapa secara logik anda hendak paksakan perkara negatif ini ke atas diri sendiri?

Kita boleh belajar dari kesilapan kita dengan tidak menghakimi mereka sebagai  “kesilapan” tetapi sebaliknya menyebut mereka sebagai pelajaran kehidupan dan maju ke hadapan bersama mereka. Jika anda mempunyai fikiran masa lalu yang selalu menghantui, akui keberadaannya, bersyukur untuk maklumat (atau peringatan) dan tanya pada diri sendiri apa yang boleh anda pelajari dari pengalaman itu dan gunakannya untuk masa kini. Kemudian tinggalkan ia di situ. Pelajari pelajaran kehidupan anda, dan hidup bersama mereka, maju ke hadapan, tidak mundur – mengenangi saat yang sudah berlalu.

Adapun saat masa depan, adalah bagus untuk mengetahui apa yang ingin anda lakukan, atau siapa yang anda ingin menjadi, bahkan perkara yang ingin anda capai, tetapi untuk terus-menerus melamun dan tidak mengambil tindakan yang sebenarnya ke arah mencapai matlamat adalah kontraproduktif. Jika anda membiarkan diri anda untuk memikirkan masa depan dan menetapkan beberapa matlamat, pastikan bahawa anda mengambil tindakan nyata untuk mencapainya. Jika tidak, bantulah diri dengan menuliskannya di dalam senarai “matlamat masa depan” yang anda hanya akan beri tumpuan setelah anda berazam untuk lakukannya, pada kenyataannya, mengambil tindakan yang sebenarnya secara tetap.

Anda boleh tangguh senarai “matlamat masa depan” anda ketika mencapai dan menyelesaikan matlamat semasa anda yang anda sedang ambil tindakan. Jangan tergoda untuk menyemak senarai tersebut dari masa ke masa memandangkan senarai itu adalah untuk kegunaan masa depan. Ini akan membantu anda untuk tetap mengetahui apa yang anda lakukan sekarang dan bukannya berada dalam lingkaran fikiran yang tidak membawa anda ke mana-mana.

Ambil kembali kekuatan peribadi anda hari ini, sekarang juga dengan mempraktikkan tindakan yang dinyatakan dalam artikel ini. Ambil pelajaran masa lalu tetapi tinggalkan pengalaman masa lalu di mana mereka berada. Tetapkan matlamat untuk diri sendiri dan ambil tindakan, dan tinggalkan matlamat yang anda tidak bersedia untuk mengambil tindakan di dalam senarai untuk kegunaan di masa depan. Setelah anda meletakkan masa lalu dan masa depan di mana mereka sepatutnya berada, anda boleh secara konsisten menumpukan perhatian kepada apa yang berlaku sekarang di dalam hidup anda dan mula menjalani kehidupan dengan cara yang lebih bererti dan benar-benar bahagia.

Sumber: http://EzineArticles.com/6259680

Tepuk Dada Tanya Hati

Mengapa kita selalu mengeluh tetapi masih melakukan perkara yang sama yang kita keluhkan seperti kita tidak punya pilihan?

Kita bersusah payah mengharungi kehidupan walaupun kita tahu bahawa ia seharusnya mengalir lancar.

Kita mengakui bahawa segala sesuatu melimpah ruah namun kita melakukan sesuatu seperti segalanya kekurangan.

Kita tahu apa yang perlu kita lakukan namun kita tidak mengambil sebarang tindakan.

Mengapa kita selalu melayan suara-suara yang mengiang di minda kita?

Kita tahu bahawa kita lahir ke dunia ini untuk suatu tujuan, jadi apa tujuan kita?

Wang bukanlah segalanya, namun kita bertindak seperti ia adalah segalanya?

Kita berani membuat impian namun kita tidak berani beruasaha untuk mencapainya.

Kita ingin memimpin namun kita tidak mahu mengambil tanggungjawab.

Kita ingin tanggungjawab tetapi kita tidak mahu dipertanggungjawabkan.

Kita inginkan kesempurnaan tetapi kita tidak mahu berlatih.

Kita meminta maklumbalas tetapi kita mahu orang mengucapkan apa yang ingin kita dengar.

Apabila kita mendapatnya, itu sudah mencukupi. Apakah itu benar?

Di mana ini akan berakhir atau mungkin pertanyaannya di mana ia bermula …

Sumber: http://izamspeaks.blogspot.com

Jangan Merungut

Minggu lepas saya menghadiri persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh sebuah universiti terkemuka di Malaysia.

Dari peta yang diperolehi dari Internet, saya lebih kurang dapat agak lokasi fakulti di mana persidangan akan berlangsung. Saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk sampai ke lokasi tersebut, parkir kereta pun banyak. Sesampainya saya di kampus universiti tersebut, saya agak terkejut. Saya menjangkakan laluan ke tempat persidangan dipenuhi dengan bunting memandangkan persidangan tersebut bertaraf antarabangsa, dan ada papan tanda yang menunjukkan arah ke tempat persidangan. Namun apa yang saya jangkakan meleset. Tiada bunting, tiada papan tanda. Bila dah sampai di sekitar dewan persidangan, saya baru nampak ada 3 helai bunting.

Apabila sampai ke kaunter pendaftaran, suasana persekitaran juga tidak seperti saya jangkakan. Macam daftar kursus dalaman anjuran majikan saya. Saya menjangkakan kaunter pendaftaran ditempatkan di satu ruang legar yang luas dan ramai perserta sedang beratur untuk mendaftar diri. “Mungkin ramai yang dah mendaftar semalam,” fikir saya.

Selepas mendaftar, saya masuk ke dewan persidangan. Saya dapati jumlah peserta sekitar 60 orang sahaja. Sementara menunggu persidangan bermula, saya menelusuri abstrak kertas kerja yang akan dibentangkan.

“Inikah tahap kualiti kertas kerja persidangan antarabangsa? Patutlah tak ramai peserta luar negara yang hadir.” Saya mencari alasan untuk menyokong tanggapan saya terhadap persidangan tersebut.

Kemudian saya tersedar yang saya berada dalam mod pembawaan diri terbiasa, iaitu merungut tentang sesuatu yang tidak memenuhi apa yang diharapkan. Mengapa harus bersungut?

Lantas saya bertanya pada diri sendiri, “Untuk apa aku menghadiri persidangan ini? Untuk mendapat pengetahuan atau perkembangan terbaru dalam industri. Jika itu tujuannya, kenapa merungut?”

Kenapa tidak? Itukan tabiat semulajadi manusia.

Kadang-kadang kita tidak dapat mengelak dari merungut. Namun apa yang penting adalah bagaimana untuk tidak terpedaya dengan mainan fikiran tersebut. Jika kita terus berada dalam mod tersebut, kita tidak akan mendapat yang terbaik dari usaha yang kita lakukan itu. Bila kita bersungut tentang sesuatu, berhenti dan tanya kenapa aku merungut atau tidak puas hati (amalkan selalu agar mudah untuk kita sedar bila diri berada dalam mod bersungut). Biasanya ia tidak lari dari tiga perkara berikut:

1. Tabiat suka menyalahkan (atau mengelak dari dipersalahkan) – Sudah menjadi tabiat manusia suka menyalahkan orang lain. Apa yang orang lain buat ada saja yang tak kena. Namun kita akan merasa marah bila dipersalahkan.

2. Mengelak diri dari dipergunakan (atau mempergunakan orang lain) -  Yuran pendaftaran yang dikenakan RM600, rasanya macam tak berbaloi. Agaknya universiti ni nak guna duit kami untuk sponsor pelajar mereka yang turut menyertai persidangan.

3. Ingin kelihatan hebat di mata manusia lain (atau mengelak dari kelihatan teruk) – dengan berbisik kepada orang di sebelah yang kertas kerja tiada kualiti, secara tak langsung saya memberitahu beliau yang saya ni tahu atau pakar tentang subjek berkenaan.

Saya henti bersungut dan menumpukan perhatian kepada persidangan. Di akhir persidangan, saya dapat apa yang saya inginkan dari penyertaan saya di persidangan tersebut. Walaupun ada beberapa kertas kerja yang tidak mencapai tahap kualiti yang saya harapkan, terdapat banyak kertas kerja lain yang bertaraf antarabangsa. Dengan memberi fokus kepada “apa yang dicari – tujuan”, saya mendapat yang terbaik.

Motivasi dan Inspirasi

Pada saya motivasi dan inspirasi adalah dua benda yang berbeza. Walaupun perbezaannya sangat kecil, inspirasi mempunyai lebih kekuatan dalam merangsang seseorang melakukan sesuatu dengan penuh komitmen berbanding motivasi.

Perkataan motivasi terbentuk dari perkataan motif. Bermakna seseorang memerlukan motif untuk mendapat motivasi. Apa motif seorang blogger menulis blog? Wang, nama, dihargai, berkongsi pendapat, mencetus perubahan, atau kesemuanya? Jika motif yang ingin dicapai tidak tercapai, besar kemungkinan motivasi akan menurun.

Dalam tulisan sebelum ini, saya senaraikan tiga kategori motif yang membangkitkan motivasi iaitu motif homeostatik, motif non-homeostatik dan motif sosial. Ada motivasi positif dan ada motivasi negatif.

Kenapa ramai yang sanggup beratur berjam-jam untuk bayar saman? Jawabnya kalau tak bayar tak boleh baharui lesen memandu. Itu motivasi negatiflah kot. Motivasi diri (self motivation) bagi saya adalah lebih baik dari motivasi yang didasarkan atas rasa takut (motivasi negatif). Agaknya yang dimaksudkan dengan motivasi positif adalah motivasi kendiri. Katakan seseorang itu ingin menurunkan berat badannya yang terlebih. Dia bersukan dan mengamalkan diet, itu motivasi positiflah kan? Dorongan itu terjadi atas keinginan sendiri. Motivasi kendiri, yang kita mulai dengan niat yang baik, terkadang atau mungkin selalu tidak kekal lama.

Selalu juga saya mengikuti program motivasi, samada atas inisiatif sendiri, dihantar oleh majikan atau pun mengikuti program yang dianjurkan oleh organisasi yang saya menjadi ahli.   Dalam program  tersebut, kita biasanya akan diminta menentukan matlamat yang ingin dicapai dan menyediakan perancangan untuk mencapainya. Matlamat tersebut selalunya mempunyai kaitan dengan motif yang dinyatakan di atas.

Kita akan mempunyai motivasi bila ada orang yang mengajak, memujuk atau memaksa kita melakukannya. Seminggu selepas program motivasi, biasanya semangat atau motivasi dah mula menurun. Tidak ada lagi dorongan untuk mencapai motif kerana tiada yang mengajak, menyuruh atau memaksa. Benarlah kajian pakar, manusia akan lupa seratus peratus tentang apa yang diberitahu kepadanya dalam tempoh seminggu. Inilah agaknya kenapa sesetengah pakar motivasi, seperti Dr. Dyer, yang mengatakan seseorang tidak mungkin dapat memotivasikan orang lain. Inilah juga kenapa agaknya setiap Jumaat, pemimpin rumah tangga perlu mendengar khutbah, iaitu supaya sentiasa mempunyai motivasi untuk menjadi seorang yang baik dan dapat memimpin keluarga bahagia. Begitulah juga kenapa para pemimpin bisnes MLM meminta ahli kumpulan mereka untuk menghadiri mesyuarat setiap minggu, untuk diberikan motivasi agar terus berusaha ke arah kejayaan.

Seseorang yang mempunyai inspirasi akan terus komited untuk berusaha walaupun matlamat yang ingin dicapai tidak tercapai. Inspirasi bermaksud keadaan fikiran yang boleh menyebabkan terlahir ilham atau rangsangan, dan juga perasaan yang membuat seseorang komited dengan apa yang diusahakan. Usaha tidak hanya sebagai jalan untuk mecapai matlamat tetapi tujuan hidup itu sendiri – hidup yang penuh inspirasi dan bermakna.

Di mana kita boleh mendapat sumber inspirasi?

Sumber ispirasi berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Ramai orang yang mendapat sumber inspirasi dari alam semulajadi seperti melihat ikan berenang, mendengar deruan ombak, kicauan burung, atau desir angin. Ada orang mendapat inspirasi dengan mendengar muzik seperti muzik klasik atau sentimental. Ada juga yang mendapat inspirasi dengan membaca kisah manusia agung (seperti Nabi Muhammad saw). Inspirasi juga boleh diperolehi dengan menyelami jiwa sendiri atau membaca jurnal peribadi.

Carilah sumber inspirasi anda. Motivasi tidak cukup bertenaga untuk membuat anda meneruskan usaha ketika keadaan sekeliling berteriak “berhenti!”. Motivasi hanya memberitahu kita mengapa kita ingin melakukan apa yang kita lakukan kerana ia didasarkan pada matlamat semata-mata.

Tulisan Terdahulu «

» Tulisan Berikut