Pagi Yang Basah Di Kuala Lumpur

Pagi kelmarin adalah satu lagi pagi yang basah di Kuala Lumpur. Seperti biasa, bila hujan turun kesesakan lalulintas di waktu pagi akan bertambah dari biasa. Ramai yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas tersebut, termasuk saya. Bila terperangkap begitu dan jam hampir menunjukkan pukul 8.30 (waktu masuk kerja), apa yang biasanya¬† bermain di fikiran anda? Menyalahkan hujan, pemandu lain yang mementingkan diri, kawalan lalulintas. keadaan, dan sebagainya. Bila sampai di plaza tol, PlusTag mengenakan saya caj maksimum atas alasan “tidak masuk plaza “. Saya bukannya tak masuk plaza, ketika masuk lebuhraya tadi sensor PlusTag tidak baca tag saya tetapi tidak menutup palang. Jika anda di tempat saya, apa agaknya perasaan anda di waktu itu?

Ya, merasa marah!!! Saya mempunyai sebab untuk merasa marah. Dahlah sangkut dalam jem, kena bayar tol maksima pulak tu. Namun kali ini saya tidak merasa marah, tidak seperti ketika saya berada dalam keadaan yang sama beberapa bulan yang lepas. Pada hari itu motivasi pagi saya menurun, tiada semangat untuk membuat kerja – semuanya tak kena. Saya muhasabah diri untuk mencari punca kenapa saya marah. Ya, saya marah kerana rasa tertipu dan teraniaya. Bila saya dah terima apa yang berlaku hanyalah “satu lagi pagi yang basah di Kuala Lumpur” dan “kegagalan sistem berfungsi”, saya merasa lega dan perasaan marah menurun. Gerak balas (marah) yang berlaku adalah naluri haiwan, bagaimana kita bertindak balas membezakan kita dengan haiwan.

Satu lagi yang membuat rasa marah atau cemas adalah kerana tidak selesa disebabkan tidak tahu apa yang akan terjadi. Adakah saya akan dapat balik duit tu? Aneh ya kita manusia! Bila tak tahu apa yang akan berlaku, kita risau atau merasa gelisah. Tetapi bila dah tahu apa yang akan berlaku, tak syok pula. Macam tengok perlawanan bola siaran langsung dengan rakaman. Tengok siaran langsung lagi best. Berbalik semula pada cerita caj berlebihan PlusTag, sebulan selepas buat laporan dengan Plus, saya dapat balik duit saya. Justeru bila kena lagi sekali, tak adalah rasa nak marah. Pertama sebab dah tahu bagaimana nak beri gerak balas dan kedua sebab dah dapat agak apa yang akan terjadi (sebulan lagi akan dapat balik duit).