Jangan Merungut

Minggu lepas saya menghadiri persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh sebuah universiti terkemuka di Malaysia.

Dari peta yang diperolehi dari Internet, saya lebih kurang dapat agak lokasi fakulti di mana persidangan akan berlangsung. Saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk sampai ke lokasi tersebut, parkir kereta pun banyak. Sesampainya saya di kampus universiti tersebut, saya agak terkejut. Saya menjangkakan laluan ke tempat persidangan dipenuhi dengan bunting memandangkan persidangan tersebut bertaraf antarabangsa, dan ada papan tanda yang menunjukkan arah ke tempat persidangan. Namun apa yang saya jangkakan meleset. Tiada bunting, tiada papan tanda. Bila dah sampai di sekitar dewan persidangan, saya baru nampak ada 3 helai bunting.

Apabila sampai ke kaunter pendaftaran, suasana persekitaran juga tidak seperti saya jangkakan. Macam daftar kursus dalaman anjuran majikan saya. Saya menjangkakan kaunter pendaftaran ditempatkan di satu ruang legar yang luas dan ramai perserta sedang beratur untuk mendaftar diri. “Mungkin ramai yang dah mendaftar semalam,” fikir saya.

Selepas mendaftar, saya masuk ke dewan persidangan. Saya dapati jumlah peserta sekitar 60 orang sahaja. Sementara menunggu persidangan bermula, saya menelusuri abstrak kertas kerja yang akan dibentangkan.

“Inikah tahap kualiti kertas kerja persidangan antarabangsa? Patutlah tak ramai peserta luar negara yang hadir.” Saya mencari alasan untuk menyokong tanggapan saya terhadap persidangan tersebut.

Kemudian saya tersedar yang saya berada dalam mod pembawaan diri terbiasa, iaitu merungut tentang sesuatu yang tidak memenuhi apa yang diharapkan. Mengapa harus bersungut?

Lantas saya bertanya pada diri sendiri, “Untuk apa aku menghadiri persidangan ini? Untuk mendapat pengetahuan atau perkembangan terbaru dalam industri. Jika itu tujuannya, kenapa merungut?”

Kenapa tidak? Itukan tabiat semulajadi manusia.

Kadang-kadang kita tidak dapat mengelak dari merungut. Namun apa yang penting adalah bagaimana untuk tidak terpedaya dengan mainan fikiran tersebut. Jika kita terus berada dalam mod tersebut, kita tidak akan mendapat yang terbaik dari usaha yang kita lakukan itu. Bila kita bersungut tentang sesuatu, berhenti dan tanya kenapa aku merungut atau tidak puas hati (amalkan selalu agar mudah untuk kita sedar bila diri berada dalam mod bersungut). Biasanya ia tidak lari dari tiga perkara berikut:

1. Tabiat suka menyalahkan (atau mengelak dari dipersalahkan) – Sudah menjadi tabiat manusia suka menyalahkan orang lain. Apa yang orang lain buat ada saja yang tak kena. Namun kita akan merasa marah bila dipersalahkan.

2. Mengelak diri dari dipergunakan (atau mempergunakan orang lain) –  Yuran pendaftaran yang dikenakan RM600, rasanya macam tak berbaloi. Agaknya universiti ni nak guna duit kami untuk sponsor pelajar mereka yang turut menyertai persidangan.

3. Ingin kelihatan hebat di mata manusia lain (atau mengelak dari kelihatan teruk) – dengan berbisik kepada orang di sebelah yang kertas kerja tiada kualiti, secara tak langsung saya memberitahu beliau yang saya ni tahu atau pakar tentang subjek berkenaan.

Saya henti bersungut dan menumpukan perhatian kepada persidangan. Di akhir persidangan, saya dapat apa yang saya inginkan dari penyertaan saya di persidangan tersebut. Walaupun ada beberapa kertas kerja yang tidak mencapai tahap kualiti yang saya harapkan, terdapat banyak kertas kerja lain yang bertaraf antarabangsa. Dengan memberi fokus kepada “apa yang dicari – tujuan”, saya mendapat yang terbaik.