Usah Dipeduli Perkara Kecil

Kita selalu membiarkan diri kita sibuk dengan perkara yang jika diteliti, boleh dikatakan sangat kecil. Kita peduli dan memberi tumpuan kepada perkara kecil tersebut dan membesar-besarkannya sehingga ia mengawal emosi kita dan seterusnya membuat kita tidak tenteram. Dalam kebanyakan situasi perkara kecil inilah yang menjadi punca kepada soal “hidup atau mati”. Sebagai contoh, ketika anda sedang memandu tiba-tiba sebuah kereta lain mencilok masuk di hadapan anda dari sebelah kiri. Anda terpaksa menekan brek untuk mengelak terlanggar belakang. Biasanya anda tidak akan membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja sebaliknya membenarkan perasaan marah mengawal diri anda. Tidak kurang dari kita yang mengambil tindakan mengejar dan membalas perbuatan pemandu berkenaan. Kejadian tersebut mungkin tidak akan berakhir di situ. Anda berdua mungkin akan bergaduh dan masing-masing mungkin mendapat kecederaan. Kalau tidak bernasib baik, mungkin kecederaan parah atau pun meninggal dunia. Anda tentu pernah membaca cerita sedemikian di akhbar-akhbar atau media lain. Paling tidak anda akan menceritakan insiden tersebut kepada rakan-rakan anda atau orang di sekeliling anda. Anda akan marah-marah di sepanjang hari, hari itu akan merupakan antara hari yang teruk dalam hidup anda.

Kenapa peduli? Kenapa tidak biarkan sahaja pemandu tersebut? Kalau dia tidak berhati-hati dia akan mengalami kemalangan. Memang salah dia memotong secara tiba-tiba. Dia mungkin mengalami tekanan kerana sudah terlewat untuk sampai ke pejabat atau janjitemu. Oleh kerana pemandu tersebut berada di dalam tekanan, takkanlah kita pun ingin turut sama mengalami tekanan. Biarkan dia dengan tekanannya, dengan masalahnya dan kemungkinan mengalami kemalangan, kasihan dia. Jika anda tidak kasihan dia, anda juga tidak kasihan diri anda sendiri. Bayangkan apa akan terjadi kepada hari anda kerana mempedulikan pemandu tersebut. Tentu bukan sesuatu yang menyenangkan, nasib tak baik anak isteri yang akan dimarahi, atau mungkin ianya berakhir di balai atau lokap.

Mungkin untuk kebanyakan orang ianya susah untuk dilakukan. Sebelum ini saya juga menghadapi masalah yang sama, sukar untuk tidak peduli. Namun berkat latihan, komitmen dan izin Allah, saya berjaya melakukannya. Seperti kebanyakan pemandu di Lembah Kelang, saya banyak kali berhadapan dengan pemandu yang kurang sopan, yang memandu dalam keadaan yang boleh menyebabkan kemalangan. Namun untuk tidak memburukkan hari saya, saya tidak ambil peduli.

Terdapat banyak perkara kecil dalam hidup kita seharian. Ada perkara kecil yang memporak-perandakan banyak rumah tangga. Contoh, ada rumah tangga yang porak-peranda hanya kerana si suami tidak romantik pada pandangan si isteri atau sebaliknya, tiada kekurangan dari segi lain. Jika si isteri/suami tidak mendesak suami/isteri untuk menjadi romantik tetapi menumpukan usaha untuk diri sendiri menjadi romantik dan melayan suami/isteri sebaik mungkin, InsyaAllah si suami/isteri akan menjadi romantik jua akhirnya. What you give you get back (lagu Scorpions).

Saya akan bercerita lagi mengenai “Usah Dipeduli Perkara Kecil” dan memberi lebih banyak contoh di posting yang akan datang.