«

»

Menunaikan Azam Tahun Baru Anda

Hari ini dah masuk hari keenam tahun 2015. Dah buat azam tahun baru? Lazimnya bila menjelang tahun baru ramai daripada kita membuat azam tahun baru. Bagaimana dengan azam tahun 2014? Dah ditunaikan?

Kalau belum ditunaikan, tidak mengapa. Tak usah salahkan diri. Sangat mudah untuk membuat azam tahun baru seperti nak berdiet, bersenam dengan kerap, hidup dengan lebih tenang dan santai dll. Namun kajian menunjukkan tidak ramai yang dapat menunaikannya. Justeru adakah ini bermakna kita tidak perlu membuat azam tahun baru?

Pakar berpendapat kita perlu membuat azam tahun baru, dengan pendekatan yang betul kita akan dapat mencapainya. Kemungkinan kita melaksana azam tahun baru bergantung kepada beberapa faktor dan ia bermula dengan niat. Mengapa anda membuat azam tersebut? Semakin besar sebabnya, semakin tinggi kebarangkalian ianya dapat dicapai.

Suasana di perayaan tahun baru merupakan racun yang menghalang azam menjadi realiti. Niat baik yang tercetus semasa sedang seronok merayakan tahun baru berkemungkinan merupakan keinginan sebenar anda tetapi selalunya azam yang baik tidak terlahir semasa perayaan menyambut tahun baru.

Azam yang dibuat berdasarkan kehendak atau harapan orang lain juga adalah tidak baik. Kebarangkalian azam tersebut bertukar menjadi realiti adalah lebih besar jika ianya dibuat berdasarkan motivasi diri berbanding dengan tekanan luar.

Kawan saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 35kg. Saya tanya beliau apa rahsia kejayaan beliau. Dah banyak kali saya dengar beliau nak turunkan berat badan tetapi tak nampak apa-apa perubahan pun. Pejabat beliau pernah mengadakan pertandingan menurunkan berat badan, beliau turut serta tetapi tak menang pun. Jadi apa rahsianya? Kata beliau, beliau tak sanggup untuk menderita akibat penyakit yang berpunca daripada obesiti seperti yang dialami oleh ibu beliau dan beberapa orang saudara terdekat beliau. Beliau dapat merasa seksa yang ditanggung oleh mereka dan beliau tidak mahu mengalami perkara yang sama.

Adalah paling baik kita mengambil pendekatan sistematik dalam membuat azam tahun baru. Bermula dengan menilai keadaan semasa, sebagai contoh keinginan untuk mengurangkan berat badan berlebihan. Ianya sangat berguna jika anda menyenaraikan tabiat makan anda. Ianya akan membantu anda mengenalpasti dari mana datangnya berat berlebihan tersebut.

Pendekatan yang sama boleh digunakan untuk membantu anda selalu bersenam. Sediakan jadual mingguan yang menunjukkan bila dan berapa lama anda bersenam, kemudian tengok sama ada anda boleh luangkan lebih banyak masa untuk bersenam.

Membuat azam dengan perkataan seperti “kurangkan berat” atau “lebih bersenam” adalah tidak berkesan dalam menentukan matlamat. Apa yang anda perlukan adalah rancangan konkrit yang memberitahu anda berapa banyak kilogram yang anda harus usaha untuk hilangkan dalam satu tempoh masa. Begitu juga ia harus memberitahu anda berapa banyak senaman yang perlu anda lakukan, sebagai contoh sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

Satu peraturan asas adalah untuk menetapkan sasaran yang realistik, jika tidak, kekecewaan dan kegagalan akan menyusuli.

Apa yang mampu dicapai bukan hanya bergantung kepada kemampuan anda sendiri tetapi ia juga bergantung kepada bagaimana bagusnya anda menilai kemampuan diri.

Adalah munasabah untuk membuat perancangan bagi tempoh kira-kira enam bulan. Anda perlu menetapkan matlamat yang besar di akhir tempoh tersebut tetapi perlu ada beberapa peringkat dengan matlamat kecil sebelum anda mencapai yang besar. Ianya juga sangat penting untuk mengambil pendekatan positif dalam merangka azam anda. Daripada mengatakan “Saya ingin menghilangkan X Kilo” adalah lebih baik untuk berkata “Saya tidak mahu mendapat serangan jantung”. Untuk mengurangkan risiko serangan jantung, anda harus mensasarkan berat ideal dengan berpandukan BMI ataupun ukuran lain.

Cabaran terbesar adalah untuk kekal hingga ke akhir. Anda harus merancang untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri bagi setiap matlamat kecil yang anda capai. Setiap matlamat kecil yang dicapai adalah bukti yang anda boleh berjaya. Anda seharusnya merekodkan kejayaan kecil tersebut dengan menandakan pencapaian di dalam senarai atau jadual yang telah disediakan.

Bagaimana pun kegagalan juga adalah sebahagian daripada proses. Menurut kajian pakar, hanya sebanyak 20% daripada azam tahun baru dilaksana. Ia adalah berbaloi untuk memberi perhatian yang seimbang kepada kegagalan. Mungkin matlamat yang telah ditetapkan adalah terlalu tinggi, tahun depan anda boleh menukarkannya dan mendapat pencapaian yang lebih baik.

Semoga tahun 2015 lebih baik daripada tahun sebelumnya.

2 comments

No ping yet

  1. Muhd. Haniff Hashim says:

    Bagaimana kita hendak mengelakkan cuma “renew” azam tahun baru, yang mana azam itu adalah azam daripada tahun-tahun sebeleum itu? Senang cerita, azam asyik tidak kesampaian… Adakah azam tersebut terlalu besar?

  2. ahmad says:

    azam saya nak jadi jutawan tahun ni walaupun azam saya nak jadi jutawan pada tahun-tahun sebelum ni pun gagal dilaksanakan tapi saya takkan putus asa untuk terus berusaha.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>