Menentukan Karier Anak-anak

Tahniah diucapkan kepada para ibubapa. Anak-anak sudah mulai menerima tawaran untuk mengikuti program matrikulasi dan juga program asasi, diploma atau ijazah di IPTA /IPTS.

Ramai di antara para ibubapa yang bertindak sebagai kata pemutus dalam menentukan bidang atau karier yang dipilih anak-anak. Tidak kurang juga para ibubapa yang bertindak sebagai penyalur maklumat dan memberi nasihat kepada anak-anak tentang bidang dan karier berkenaan dan membiarkan anak-anak membuat keputusan sendiri. Apa yang penting ialah semasa kita bertindak sebagai juri, hakim atau penasihat dalam menentukan bidang dan karier anak-anak, kita “sedar” apa yang kita lakukan. Kita perlu mahasabah diri – adakah kita¬† bertindak untuk kepentingan anak-anak atau untuk kepentingan diri sendiri. Adakah kita memilih sesuatu karier berkenaan agar kedudukan kewangan anak kita kukuh dan beliau nanti dapat membantu kita dari segi kewangan. Atau kita memilih karier tersebut agar kita dapat berbangga kerana mempunyai anak yang termasuk dalam sesuatu golongan tertentu. Atau sebagai kenderaan untuk mencapai cita-cita sendiri yang tidak tercapai dahulu. Apabila perkara ini sudah jelas, kita akan dapat membuat keputusan secara sedar.

Saya mempunyai seorang kawan, juga seorang teknikal seperti saya. Beliau menyuruh anak beliau belajar kejuruteraan hingga ke peringkat Ph.D. Harapan beliau adalah apabila sudah tamat belajar, anaknya akan bekerja di firma kejuruteraan milik beliau dan mengambil alih firma tersebut bila beliau sudah tiada lagi di dunia ini. Alhamdulillah anaknya sudah memperolehi Ph.D dari universiti luar negara. Sekembalinya ke tanah air, beliau menyerahkan ijazah-ijazah beliau kepada bapanya.

“Ini ijazah-ijazahnya Abah, ambillah. Saya dah tunaikan permintaan Abah. Sekarang biarkan saya belajar apa yang saya minati.”

Anak rakan saya tersebut kini sedang mengambil ijazah dalam bidang muzik.

Agaknya apa kesan tindakan anak tersebut ke atas motivasi diri bapanya? Marilah kita renungkan bersama. Karenah anak-anak sememangnya memberi impak besar ke atas motivasi diri para ibubapa. Saudara saudari boleh bayangkan betapa remuknya hati dan merudumnya motivasi diri para ibubapa yang anaknya terlibat dengan masalah sosial seperti ketagihan dadah.

Dipaparkan beberapa kata-kata bijak motivasi untuk renungan bersama:

“Jangan mengarah, tetapi menguasai.” – Kwai Chang Caine, watak utama filem Kung Fu.

“Bila saya pegang tayar terlalu kuat, saya rasa saya hilang kawalan.” – Steve Rapson.