Bagaimana Kita Mendengar?

Bila berborak dengan seseorang, pernah tak dia tanya, “Awak dengar tak apa yang saya cakapkan?”

Pernah tak anda dapati diri anda membuka mulut sebelum orang lain habis bercakap?

Sewaktu menghadiri satu persidangan baru-baru ini, beberapa kali saya tersedar yang saya tidak bersetuju dengan apa yang disampaikan oleh pembentang kertas kerja. Daripada terus mendengar apa yang dibentangkan, saya memberi perhatian kepada suara kecil dalam minda saya yang sedang berbicara tentang apa yang dibentangkan oleh beliau.

Tak bolehkah suara kecil tersebut diam agar dapat saya memberi perhatian penuh kepada apa yang dibentangkan. Bila diberi peluang nanti, bolehlah saya luahkan pendapat saya atau memilih untuk diam. Dengan tidak membuka minda (atau lebih tepat tidak mendiamkan suara kecil), saya tidak memberi ruang kepada idea baru bercambah dan berkembang dalam diri saya.

Kenapa susah sangat untuk mendengar apa yang diucapkan orang lain. Kenapa selalu ada suara kecil dalam minda yang memberi ulasan tentang apa yang orang lain ucapkan. Inilah kebiasaan ramai dari kita. Bila bercakap dengan seseorang, kita mendengar suara kecil dalam minda kita dan tidak memberi perhatian penuh kepada apa yang orang tersebut cakapkan. Kita cenderung membina imej, konsep, idea, penilaian, pandangan, tanggapan dan sebagai tentang orang yang berbicara dengan kita. Kekuatan dalam mendengar adalah mendengar sepenuhnya apa yang orang lain hendak katakan tanpa sebarang penilaian, sama seperti membiarkan bayu membelai muka kita.

Intisari yang ingin dikongsikan – jika ingin mendengar, dengar sepenuhnya kata-kata yang diucapkan seadanya. Jika tidak mahu mendengar, hentikan perbualan dan beredar dari situ. Ulasan suara kecil adalah berdasarkan kepada perbualan dan pengalaman masa lalu. Latih diri untuk mendengar “seadanya”, dan anda akan dapati diri anda memiliki cara baru untuk mendengar. Ia akan memberi manfaat yang besar kepada anda.