Dia Melakukan Yang Terbaik

Ini adalah kisah mengenai Robby, seorang kanak-kanak yang tinggal bersama ibunya yang sudah tua. Ibunya mahu dia belajar bermain piano kerana dia tersangat ingin mendengar anaknya bermain untuknya. Beliau menghantar Robby kepada seorang cikgu piano yang sudi membimbingnya. Walau bagaimanapun ada satu masalah kecil, Robby tidak cenderung kepada muzik justeru dia sangat lambat dalam pembelajarannya. Oleh itu cikgunya tidak mempunyai keyakinan yang tinggi terhadapnya. Namun begitu ibu Robby tetap tabah dan setiap minggu dia menghantar Robby untuk mengikuti kelas.

Pada suatu hari Robby berhenti menghadiri kelas piano. Cikgu fikir Robby telah berputus asa dan dia merasa agak gembira kerana dia tidak menaruh banyak harapan kepadanya. Tidak lama kemudian, cikgu piano diminta untuk menganjurkan konsert piano di bandar. Dia mengedarkan poster menjemput pelajar-pelajar dan orang ramai untuk menghadiri acara tersebut. Tiba-tiba beliau menerima panggilan dari Robby yang menawarkan diri untuk mengambil bahagian dalam konsert itu. Cikgu memberitahu Robby yang dia tidak cukup bagus dan dia juga bukan lagi seorang pelajar kerana berhenti dari mengikuti kelas. Robby merayu untuk diberi peluang dan berjanji tidak akan menghampakan cikgu.

Akhirnya cikgu mengalah dan dia meletakkan Robby sebagai pelajar yang terakhir membuat persembahan, dengan harapan dia akan menukar fikirannya di saat akhir. Apabila sampai hari yang besar itu, dewan penuh sesak dan para pelajar memberikan persembahan terbaik mereka. Akhirnya sampai giliran Robby untuk bermain dan apabila nama beliau diumumkan, dia berjalan naik ke pentas. Pakaiannya tidak kemas dan rambutnya tidak disikat rapi. Cikgu benar-benar gementar kerana prestasi Robby boleh merosakkan persembahan cemerlang pada petang itu. Apabila Robby memulakan persembahannya penonton menjadi senyap dan kagum dengan kemahiran budak kecil ini. Malah, persembahan beliau adalah persembahan yang terbaik pada petang itu. Di akhir persembahan beliau, para penonton dan cikgu piano memberikan tepukan gemuruh.

Orang ramai bertanya kepada Robby bagaimana dia berjaya bermain dengan begitu cemerlang. Dengan mikrofon di hadapannya, beliau berkata, “Saya tidak mampu untuk menghadiri latihan piano mingguan kerana tidak ada sesiapa yang boleh menghantar saya kerana ibu saya sakit kanser. Beliau meninggal dunia pada pagi ini dan saya mahu dia mendengar saya bermain. Anda tahu, ini merupakan kali pertama beliau dapat mendengar saya bermain kerana semasa hayatnya dia pekak dan sekarang saya tahu dia mendengar. Saya perlu bermain yang terbaik untuknya! ”

Prinsip Kejayaan

Sesungguhnya ini adalah satu cerita yang menyentuhi hati mengenai kasih sayang dan kecemerlangan. Apabila anda mempunyai minat dan sebab untuk melakukan sesuatu, anda pasti akan cemerlang. Anda mungkin tidak berbakat tetapi jika anda mempunyai alasan yang cukup kuat untuk melakukan sesuatu, anda akan mampu menerokai potensi diri anugerah Allah S.W.T.

Kata-kata Motivasi

“Cari yang baik. Semuanya ada di sekeliling anda. Carilah ia, pamerkannya dan anda akan mula mempercayainya”

Sumber Cerita: Cappuccino and Success