«

»

Motivasi dan Inspirasi

Pada saya motivasi dan inspirasi adalah dua benda yang berbeza. Walaupun perbezaannya sangat kecil, inspirasi mempunyai lebih kekuatan dalam merangsang seseorang melakukan sesuatu dengan penuh komitmen berbanding motivasi.

Perkataan motivasi terbentuk dari perkataan motif. Bermakna seseorang memerlukan motif untuk mendapat motivasi. Apa motif seorang blogger menulis blog? Wang, nama, dihargai, berkongsi pendapat, mencetus perubahan, atau kesemuanya? Jika motif yang ingin dicapai tidak tercapai, besar kemungkinan motivasi akan menurun.

Dalam tulisan sebelum ini, saya senaraikan tiga kategori motif yang membangkitkan motivasi iaitu motif homeostatik, motif non-homeostatik dan motif sosial. Ada motivasi positif dan ada motivasi negatif.

Kenapa ramai yang sanggup beratur berjam-jam untuk bayar saman? Jawabnya kalau tak bayar tak boleh baharui lesen memandu. Itu motivasi negatiflah kot. Motivasi diri (self motivation) bagi saya adalah lebih baik dari motivasi yang didasarkan atas rasa takut (motivasi negatif). Agaknya yang dimaksudkan dengan motivasi positif adalah motivasi kendiri. Katakan seseorang itu ingin menurunkan berat badannya yang terlebih. Dia bersukan dan mengamalkan diet, itu motivasi positiflah kan? Dorongan itu terjadi atas keinginan sendiri. Motivasi kendiri, yang kita mulai dengan niat yang baik, terkadang atau mungkin selalu tidak kekal lama.

Selalu juga saya mengikuti program motivasi, samada atas inisiatif sendiri, dihantar oleh majikan atau pun mengikuti program yang dianjurkan oleh organisasi yang saya menjadi ahli.   Dalam program  tersebut, kita biasanya akan diminta menentukan matlamat yang ingin dicapai dan menyediakan perancangan untuk mencapainya. Matlamat tersebut selalunya mempunyai kaitan dengan motif yang dinyatakan di atas.

Kita akan mempunyai motivasi bila ada orang yang mengajak, memujuk atau memaksa kita melakukannya. Seminggu selepas program motivasi, biasanya semangat atau motivasi dah mula menurun. Tidak ada lagi dorongan untuk mencapai motif kerana tiada yang mengajak, menyuruh atau memaksa. Benarlah kajian pakar, manusia akan lupa seratus peratus tentang apa yang diberitahu kepadanya dalam tempoh seminggu. Inilah agaknya kenapa sesetengah pakar motivasi, seperti Dr. Dyer, yang mengatakan seseorang tidak mungkin dapat memotivasikan orang lain. Inilah juga kenapa agaknya setiap Jumaat, pemimpin rumah tangga perlu mendengar khutbah, iaitu supaya sentiasa mempunyai motivasi untuk menjadi seorang yang baik dan dapat memimpin keluarga bahagia. Begitulah juga kenapa para pemimpin bisnes MLM meminta ahli kumpulan mereka untuk menghadiri mesyuarat setiap minggu, untuk diberikan motivasi agar terus berusaha ke arah kejayaan.

Seseorang yang mempunyai inspirasi akan terus komited untuk berusaha walaupun matlamat yang ingin dicapai tidak tercapai. Inspirasi bermaksud keadaan fikiran yang boleh menyebabkan terlahir ilham atau rangsangan, dan juga perasaan yang membuat seseorang komited dengan apa yang diusahakan. Usaha tidak hanya sebagai jalan untuk mecapai matlamat tetapi tujuan hidup itu sendiri – hidup yang penuh inspirasi dan bermakna.

Di mana kita boleh mendapat sumber inspirasi?

Sumber ispirasi berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Ramai orang yang mendapat sumber inspirasi dari alam semulajadi seperti melihat ikan berenang, mendengar deruan ombak, kicauan burung, atau desir angin. Ada orang mendapat inspirasi dengan mendengar muzik seperti muzik klasik atau sentimental. Ada juga yang mendapat inspirasi dengan membaca kisah manusia agung (seperti Nabi Muhammad saw). Inspirasi juga boleh diperolehi dengan menyelami jiwa sendiri atau membaca jurnal peribadi.

Carilah sumber inspirasi anda. Motivasi tidak cukup bertenaga untuk membuat anda meneruskan usaha ketika keadaan sekeliling berteriak “berhenti!”. Motivasi hanya memberitahu kita mengapa kita ingin melakukan apa yang kita lakukan kerana ia didasarkan pada matlamat semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>